Monday, April 16, 2012

Akibat Kecemerlangan?

        Memulakan hari dengan kedatangan lambat untuk Kursus Kepegawaian KOAM yang diajurkan oleh PPD. Sikap ambil mudah hampir-hampir memakan diri. Kursus yang bermula pada pukul 8.00 pagi disangkakan 8.30 pagi. Sampai saja majlis sedang dirasmikan oleh Penolong PPD. 
        Memadangkan tempat kursus hanya berhampiran dengan rumah, saya pun bertolak dari rumah pada pukul 8.00 pagi dan sempat  berhenti untuk bersarapan dahulu sebelum pergi ke tempat kursus kerana menyangka kursus bermula pada pukul 8.30 pagi. Sedang asyik menikmati roti telur dan nescafe O ais, terdengar makcik-makcik tukang masak kedai berbual. Pada mulanya apa yang dibualkan tidak saya ketahui hinggalah tiba-tiba seorang makcik bersuara agak kuat. " Ramai budak lelaki menjadi mat rempit, perompak, dan macam-macam lagi". kata makcik tersebut. 
       Saya pun mula memasang telinga untuk mendengar dengan lebih terperinci apa yang dibualkan." Perempuan pulak jadi bohsia dan pelacur". kata makcik yang seorang lagi. Perbualan semakin rancak apabila beberapa orang lagi makcik tukang masak di situ mula memberikan pendapat. Setelah beberapa ketika barulah saya dapat menangkap sepenuhnya perbualan mereka. 
       Makcik-makcik tersebut berbual tentang kesan kecemerlangan terhadap pelajar yang tidak cemerlang. Patutlah rancak sangat berbual, topik yang menarik. Apa yang akan terjadi kepada murid yang tidak cemerlang  untuk menempatkan diri di dalam dunia yang mementingkan kecemerlangan? Baru saya faham mengapa makcik yang pertama tadi mengatakan ramai budak lelaki menjdi mat rempit, perompak dan sebagainya. Semua syarikat hanya mementingkan kualiti akademik semata-mata sehinggakan mengaabaikan yang kurang cemerlang dari segi akademik. Terfikir sejenak, inilah yang mungkin ingin diubah oleh kerajaan dengan memperkenalkan dasar-dasar baru seperti KSSR di mana objektif utama melengkapkan diri murid-murid bukan sahaja kecemerlangan akademik tetapi juga sahsiah dan rohani. 
       Akhir perbualan mereka terdengar salah seorang dari mereka berkata " Jadi cikgu jugak senang". Tetapi seorang dari mereka membantah kerana tugas guru amat mencabar pada masa kini. Makcik yang berkata tadi cepat menambah" bukan macam tu, keluar saja ada kerja". Mungkin apa yang yang ingin disampaikan oleh makcik tersebut sepatutnya ialah lebih senang masuk IPGM, lepas keluar saja terus dapat kerja. 




Terasa betapa bertuah menjadi GURU....
MSH '12


   

No comments: